AM

MALAYSIA ANJUR KONVENSYEN, EKSPO JALAN RAYA DI MITEC NOVEMBER INI

25/08/2025 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Malaysia bakal menganjurkan dua acara utama dalam bidang infrastruktur jalan raya dan teknologi trafik serantau, iaitu Ekspo Teknologi Jalan Raya dan Trafik ASEAN (My-ARTTE) 2025 dan Konvensyen Penyenggara Jalan Raya Malaysia (MRMC) pada November ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata My-ARTTE akan diadakan selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Nov, manakala MRMC pada 3 Nov di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Beliau berkata MRMC menghimpunkan penggubal dasar, jurutera, kontraktor dan pemilik jalan bagi membincangkan masa depan infrastruktur jalan raya, keselamatan dan penyelenggaraan di Malaysia. 

“Ia akan menjadi platform untuk berkongsi amalan terbaik, mengukuhkan kerjasama antara rakyat, kerajaan dan sektor swasta dan menyerlahkan pelan hala tuju Malaysia dalam membina infrastruktur jalan raya bertaraf dunia, seperti terkandung dalam Highway Network Development Plan (HNDP) yang digubal oleh kementerian,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Azman Ibrahim pada Majlis Pelancaran MRMC dan My-ARTTE 2025 di MITEC hari ini.

Nanta berkata My-ARTTE 2025 pula mempamerkan teknologi termaju seperti sistem pengurusan trafik pintar, dron, robotik, kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IoT) yang akan mengangkat Malaysia sebagai hab teknologi jalan raya dan lalu lintas terkemuka ASEAN.

Beliau berkata dalam era AI, data analitik dan realiti terimbuh (AR) tidak terjangkau, penggunaan dan integrasi teknologi baharu membolehkan Malaysia meramal kerosakan jalan raya lebih awal, mengoptimumkan aliran trafik, mengurangkan kesesakan dan mengawal pelepasan karbon.

Ini seiring aspirasi negara untuk menjadi hab teknologi terkemuka di Asia sekali gus melengkapkan visi Malaysia MADANI yang menekankan soal kemajuan dicapai melalui nilai insani, kemampanan dan keterangkuman pada terasnya. 

“Visi itu bukan hanya mengenai jalan raya tetapi tentang masa hadapan dan pembinaan negara kerana infrastruktur berkualiti menjadi tulang belakang atau enabler (pendaya) kepada daya saing ekonomi, kesejahteraan sosial dan kepimpinan serantau,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Nanta mengajak semua pihak berkepentingan untuk menyertai MRMC dan My-ARTTE 2025 bagi membentuk masa depan infrastruktur dan teknologi jalan raya yang lebih pintar, mampan dan lestari.

Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) Datuk Zakaria Zabidi dalam sidang media berkata penganjuran My-ARTTE oleh pihaknya, KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyasarkan penglibatan pemain industri dari Malaysia, Thailand, Singapura dan Indonesia.

“Lebih 200 reruai pempamer disediakan untuk syarikat tempatan dan ASEAN dan kita jangkakan kehadiran hingga 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari pameran kerana kemasukan adalah percuma,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan