AM

ISU LIPUTAN TELEKOMUNIKASI LEMAH ANTARA FOKUS DEWAN RAKYAT HARI INI

25/08/2025 08:29 AM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kaedah pemantauan serta penalti terhadap syarikat telekomunikasi yang gagal menyediakan liputan memuaskan, khususnya di kawasan luar bandar, antara yang dibincangkan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di portal Parlimen, perkara itu dibangkitkan oleh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) kepada Menteri Komunikasi pada sesi soal jawab lisan.

Turut menarik perhatian, soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) yang meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan strategi menjadikan Forum Tenaga ASEAN 2025 sebagai platform utama menarik pelaburan hijau berimpak tinggi sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga bersih serantau.

Selain itu, Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) bertanya kepada Menteri Kewangan sama ada kerajaan Persekutuan bercadang berkongsi hasil cukai negeri bagi menyokong pembangunan serta program kebajikan dan sosial yang dilaksanakan.

Usai sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Sumber Manusia.

Persidangan dewan kemudian diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang bagi bacaan kali kedua antaranya RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 dan RUU Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari sehingga 28 Ogos.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan