JENAYAH & MAHKAMAH

DUA LELAKI SEBAR HANTARAN BERUNSUR HASUTAN, UGUTAN JENAYAH DITAHAN

25/08/2025 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam penyebaran hantaran berunsur hasutan dan ugutan jenayah melalui media sosial X.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar berkata masing-masing yang berusia 37 dan 43 tahun ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5 JSJ Bukit Aman, sejurus laporan polis diterima.

“Hantaran itu dikesan semalam, membabitkan dua akaun aplikasi X yang mengatakan Malaysia akan diambil alih ekstremis dan akan ada revolusi, selain komen tentang serangan Israel ke atas kediaman Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang daripada lelaki itu direman dua hari bermula hari ini, manakala seorang lagi empat hari hingga 28 Ogos ini.

Kes pertama, katanya disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 manakala kes kedua mengikut Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau memberi amaran tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang membuat atau menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, ugutan jenayah atau menimbulkan kegentaran awam serta mengganggu keharmonian masyarakat di Malaysia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan