Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 25 Ogos (Bernama) -- Polis Indonesia mengerahkan lebih 1,200 anggota keselamatan pada Isnin bagi memelihara keselamatan dan ketenteraman awam dalam satu protes berhampiran bangunan Parlimen di Jakarta.
Ketua Polis Jakarta Pusat, Pesuruhjaya Susatyo Purnomo Condro berkata dalam satu kenyataan pasukan itu terdiri daripada polis, tentera dan pegawai kerajaan tempatan dan tidak membawa senjata api.
“Kami mahu memastikan acara ini berjalan dengan selamat dan teratur tanpa mengganggu aktiviti awam lain,” katanya sambil menambah operasi itu dilaksanakan secara berhemah dan berperikemanusiaan.
Protes berkenaan melibatkan beberapa gabungan masyarakat yang menyuarakan kebimbangan terhadap dasar-dasar yang dilihat menjejaskan orang ramai.
Orang ramai dinasihatkan mengelak daripada melalui kawasan parlimen dan menggunakan laluan alternatif dengan kawalan trafik disesuaikan mengikut keperluan.
-- BERNAMA