AM

DEWAN RAKYAT BINCANG ISU PENUAAN POPULASI, CADANGAN MORATORIUM PROJEK KEDIAMAN DI KL

26/08/2025 08:16 AM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Persediaan kerajaan bagi menghadapi fenomena penuaan populasi serta cadangan meletakkan moratorium ke atas projek kediaman di Kuala Lumpur, antara yang akan dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengajukan soalan kepada Menteri Ekonomi mengenai persediaan kerajaan dalam menghadapi fenomena penuaan populasi serta unjuran trend populasi, kelahiran, kematian dan perkahwinan dalam 10 tahun akan datang pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. 

Young Syefura Othman (PH-Bentong) pula meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan bercadang meletakkan moratorium ke atas projek kediaman di Kuala Lumpur memandangkan laporan Jabatan Perangkaan menyebut bandar raya itu akan mencapai tahap kemuncak penduduk pada 2031, iaitu 28 tahun lebih awal daripada unjuran nasional.

Pada sesi soal jawab lisan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mahu Menteri Pertahanan menyatakan hak milik kilang pemasangan helikopter AW149 buatan Syarikat Leonardo yang dibiayai kerajaan dan bakal dibina di Batu Berendam, Melaka.

Beliau juga ingin tahu adakah Kementerian Pertahanan dirujuk terlebih dahulu bagi rancangan pembinaan kilang berkenaan.

Turut tersenarai soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) kepada Perdana Menteri mengenai jumlah aduan yang diterima dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dari 2018 hingga 30 Jun 2025 mengikut agensi kerajaan, serta punca utama bagi tiga agensi kerajaan yang mencatat jumlah aduan tertinggi dalam tempoh tersebut.

Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) pula bertanyakan kepada Menteri Luar mengenai penilaian semasa kementerian berhubung perkembangan konflik bersenjata di Timur Tengah. 

Beliau juga ingin tahu adakah Malaysia merancang untuk menyemak dasar luar negara berkaitan Timur Tengah bagi melindungi kepentingan ekonomi, keselamatan dan rakyat Malaysia di rantau tersebut.

Selesai sesi soal jawab lisan, persidangan akan diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang (RUU) bagi bacaan kali kedua iaitu RUU Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025 serta RUU Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025.

Mesyuarat Dewan Rakyat kali ini yang bersidang selama 24 hari bermula 21 Julai lepas akan melabuhkan tirai pada Khamis ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan