KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kesan keseluruhan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas isi rumah dianggarkan rendah dan terkawal, berdasarkan unjuran awal Kementerian Kewangan (MOF), kata Timbalan Menterinya Lim Hui Ying.
Beliau berkata ia disebabkan pelbagai kemudahan dan pengecualian telah diperkenalkan sebagai langkah mitigasi, bagi memastikan beban cukai diagihkan secara adil dan ditanggung oleh pihak yang mempunyai keupayaan.
“Masih terlalu awal untuk melihat impak keseluruhan pelaksanaan SST kepada rakyat, memandangkan pelaksanaan peluasan skop SST bermula pada 1 Julai, 2025.
“Namun, berdasarkan unjuran awal kementerian, kesan ke atas isi rumah dianggarkan rendah dan terkawal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ros Suryati Alang yang ingin mengetahui kesan pelaksanaan SST pada 1 Julai, 2025 kepada rakyat dan jika strategi SST telah membantu kerajaan menampung perbelanjaan operasi dan pembangunannya tanpa menambah pinjaman atau hutang.
Lim berkata pendekatan ini selaras dengan prinsip keadilan sosial dan fiskal serta menyokong aspirasi ekonomi MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan kelestarian negara.
Peluasan skop SST, kerajaan menjangka akan berupaya menjana hasil tambahan sebanyak RM5 bilion pada tahun ini, katanya.
“Tambahan hasil ini bersama pendekatan perbelanjaan yang optimum dan berhemah telah memperkukuh kedudukan kewangan negara, justeru membolehkan kerajaan menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan tanpa perlu menambah pinjaman atau hutang tinggi.
“Peningkatan hasil cukai juga membolehkan kerajaan terus menyediakan subsidi bahan asas menerusi peruntukan subsidi kepenggunaan kepada sebahagian besar rakyat bagi meringankan kos sara hidup rakyat, antaranya melalui program Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” tambahnya.
-- BERNAMA