KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) dengan kerjasama Pfizer Malaysia memperkenalkan kempen kesedaran nasional "Breath of Hope" yang bertujuan menangani virus sinsitial respiratori (RSV), satu ancaman kesihatan pernafasan yang kurang diberi perhatian.
Pfizer dalam kenyataan memaklumkan kempen itu menekankan kepentingan imunisasi untuk ibu hamil bagi melindungi bayi dan kesedaran tentang kesan RSV terhadap warga emas dan kumpulan berisiko.
Dengan tema "Setiap nafas bermakna: dari nafas pertama bayi anda hingga nafas ibu bapa anda yang seterusnya", ia menitikberatkan perlindungan terhadap bayi bawah enam bulan dan warga emas berumur lebih 60 tahun, khususnya yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, asma atau penyakit jantung.
“Melalui pameran interaktif untuk orang awam, perkongsian cerita di media sosial, forum yang dikendalikan pakar dan kerjasama bersama pencipta kandungan kesihatan, kempen ini menyeru rakyat Malaysia untuk mengambil langkah pencegahan lebih awal,” katanya.
Ketua Kluster Pfizer bagi Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina Deborah Seifert berkata kerjasama antara Pfizer dengan OGSM adalah tentang menyatukan sains, belas kasihan dan pendidikan awam bagi membentuk budaya pencegahan yang merentas generasi.
“Di Pfizer, kami komited untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin serta memperluas akses perlindungan kepada golongan berisiko,” katanya dalam kenyataan sama.
Sementara itu, bekas Presiden OGSM Dr Muniswaran Ganeshan berkata vaksinasi RSV merupakan penemuan terkini dalam imunisasi untuk ibu hamil yang akan menyelamatkan lebih banyak nyawa.
Setiausaha Kehormat OGSM Dr Loh Huey Wen pula berkata kempen "Breath of Hope" bertujuan merapatkan jurang pengetahuan melalui bahan edaran di klinik antenatal, penglibatan digital serta perkongsian testimoni berkesan daripada para ibu dan doktor.
“Sebagai seorang ibu dan juga doktor, saya pernah melihat bayi yang baru lahir sukar untuk bernafas di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan saya berharap tiada ibu bapa yang perlu menyaksikan anak mereka bertarung nyawa.
“Imunisasi untuk ibu hamil bukan sekadar garis panduan perubatan, ia adalah cara untuk memberikan bayi kita permulaan hidup yang terbaik. Dengan melindungi para ibu, kita juga melindungi nyawa paling berisiko yang mereka kandungkan,” katanya.
RSV boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan seperti bronkiolitis dan pneumonia dengan 33 juta jangkitan dikesan di seluruh dunia setiap tahun serta 3.6 juta kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah dan 40 peratus melibatkan bayi bawah enam bulan.
Di Malaysia, kes RSV meningkat dengan mendadak semasa musim monsun (Julai hingga Ogos dan Oktober hingga Disember) sehingga membebankan hospital dengan kemasukan bayi ke ICU.
Pakar Perubatan Fetal Maternal yang juga Penolong Setiausaha OGSM Prof Dr Aida Hani Mohd Kalok berkata dengan menerima vaksin semasa kehamilan, ibu memindahkan antibodi perlindungan kepada bayi melalui plasenta, sekali gus membentuk pertahanan semula jadi sepanjang beberapa bulan pertama kehidupan.
“Kita sudah pun memberi vaksin kepada wanita hamil bagi melindungi daripada selesema dan batuk kokol. Perlindungan terhadap RSV adalah langkah seterusnya,” katanya dan menambah langkah itu bagi memastikan setiap bayi membina asas kehidupan yang kukuh, sejak nafas pertama mereka.
Mengenai warga emas pula, kajian terkini menunjukkan RSV menyebabkan kira-kira 470,000 kemasukan ke hospital dan 33,000 kematian di seluruh dunia dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas.
Presiden Terpilih Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo dalam kenyataan sama berkata gejala RSV dalam kalangan warga emas sering menyerupai selesema atau asma, keletihan, berdehit atau demam ringan, sekali gus menyulitkan diagnosis awal.
Jika tidak dirawat, RSV boleh menjadikan kegagalan jantung atau penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) bertambah parah, yang boleh membawa kepada kemasukan ke hospital atau kematian.
“Batuk daripada cucu yang datang melawat mungkin kelihatan tidak serius, tetapi ia boleh mencetuskan komplikasi teruk kepada seorang datuk yang menghidap diabetes. Sebab itulah kita perlu melihat RSV sebagai penyakit seisi keluarga dan pencegahan sebagai tanggungjawab bersama keluarga,” katanya.
-- BERNAMA