AM

JWP, DBKL DIARAH TELITI KESEMUA SYOR PAC BERKAITAN PEMBANGUNAN TANAH KUALA LUMPUR

26/08/2025 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan meneliti semua syor yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pembangunan tanah di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, meskipun beberapa isu yang dibangkitkan dalam laporan PAC itu berada di luar bidang kuasa JWP dan DBKL, kedua-dua agensi tetap diminta meneliti syor berkenaan, khususnya yang berkaitan dengan tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing.

“Saya mengambil maklum dapatan yang dikemukakan di dalam laporan PAC terkait pembangunan tanah Kuala Lumpur yang dibahaskan di Parlimen sebentar tadi.

“Bagi melengkapkan laporan tersebut, semua pihak yang berkaitan, termasuk Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, telah dipanggil oleh PAC serta telah memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu prosiding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata isu pembangunan tanah di Kuala Lumpur tidak boleh dilihat secara terpisah sebaliknya mesti difahami dalam kerangka perundangan, dasar perancangan bandar serta garis panduan pembangunan yang telah ditetapkan kerajaan.

“Kerajaan MADANI akan sentiasa komited untuk memastikan setiap langkah pembangunan tanah di Kuala Lumpur dilaksanakan dengan lebih telus, teratur dan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik demi kepentingan rakyat serta kelestarian bandar raya,” kataya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan