SUKAN

SORAKAN PENYOKONG 'DENYUT NADI' ATLET HARUMKAN NAMA MALAYSIA

26/08/2025 02:56 PM

Oleh MUHAMMAD ZULKARNAIN MOHD AZMAN

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Mereka mungkin tidak menyarung jersi kebangsaan untuk mewakili Malaysia, apatah lagi berdiri di atas podium menyanyikan lagu Negaraku.

Namun, barisan penyokong ini boleh dianggap sebagai denyut nadi atlet negara setiap kali mereka berjuang di pentas kejohanan.

Baik hujan mahupun panas, laungan, sorakan, paluan kompang dan dentuman gendang tidak pernah berhenti bergema, sekali gus membakar semangat juang atlet-atlet negara.

Seorang penyokong tegar pasukan Malaysia Mansor Khoni atau lebih dikenali sebagai Tok Moh berkata kehadirannya di stadium sentiasa mencuri perhatian dengan baju bercorak Jalur Gemilang yang menjadi identitinya. 

Menginjak usia hampir tujuh dekad, Tok Moh yang mula menjadi penyokong tegar dari 1980-an tidak pernah lelah apatah lagi jemu untuk terus memberikan sokongan kepada wira dan wirawati negara.

Dia sebaliknya berasa bangga apabila dapat memberikan sokongan padu kepada pasukan negara terutamanya jika Malaysia berjaya menjadi juara dalam kejohanan yang disertai.

“Sejujurnya, saya memang tidak rasa penat untuk sokong pasukan Malaysia dan berasa bangga kerana menyokong mereka. Bagi Tok Moh, jika mereka menang kita pun jadi lebih gembira kerana itu juga kemenangan untuk penyokong,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Tok Moh berkata sumbangan yang diberikan barisan penyokong ini hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan atlet-atlet negara ketika berjuang mengharumkan nama negara di pentas dunia.

“Kalau dulu askar mereka angkat senjata untuk negara manakala penyanyi pula boleh sumbang suara untuk negara. Atlet juga boleh menyumbang untuk negara.

“Bagi rakyat biasa macam Tok Moh ini, sumbangan kepada negara adalah dengan menjadi penyokong setia yang menyokong atlet-atlet negara,” katanya.

Sementara itu, penyokong generasi baharu Derrick Gan yang menjadi terkenal selepas gambar wajahnya sedang menangis tular tahun lepas, ketika dia menyaksikan perlawanan Piala Asia di Qatar melibatkan Harimau Malaya menentang Korea Selatan turut berkongsi perasaan yang sama seperti Tok Moh.

Dia yang sebelum ini menggadaikan motosikal miliknya bagi tujuan mengumpul dana ke Piala Asia berkata pengorbanan kecil itu langsung tidak setanding dengan rasa bangga dan terharunya menyanyikan lagu Negaraku di bumi asing selain melihat pasukan Malaysia berjaya mengikat gergasi bola sepak dunia ketika itu.

“Saya tidak pernah menyesal keluar duit untuk menyokong pasukan negara, bagi saya ia berbaloi lagi-lagi bila kita sokong dan pasukan itu menang.

“… tapi janganlah kita sokong bila menang sahaja tetapi kita kena ada dan terus menyokong pasukan negara walaupun mereka kalah,” katanya.

Derrick berkata menyokong pasukan negara bukan sekadar hanya menonton mereka beraksi di gelanggang mahupun padang tetapi ia satu daripada cara dia menzahirkan rasa cinta kepada negara.

Malah, ia juga mampu meningkatkan lagi perpaduan kaum di negara ini tatkala ribuan penyokong pelbagai bangsa membanjiri stadium mahupun lokasi, duduk bersama menyokong satu pasukan iaitu Malaysia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan