JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TERIMA LAPORAN PELAJAR JATUH DARI TINGKAT TIGA ASRAMA SEKOLAH DI SABAK BERNAM

26/08/2025 03:33 PM

SHAH ALAM, 26 Ogos (Bernama) -- Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut.

Beliau berkata selain aspek keselamatan pelajar, siasatan turut membabitkan pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan sekelilingnya.

"Polis sedang mengumpulkan keterangan daripada saksi-saksi dan individu berkaitan. Sebarang spekulasi berhubung punca kejadian termasuk dakwaan wujudnya unsur buli terlalu awal untuk disahkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazeli menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian yang boleh mengganggu proses siasatan atau menjejaskan emosi keluarga pelajar terbabit.

Beliau berkata pihaknya komited menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.

Terdahulu, seorang pelajar lelaki dilaporkan kritikal selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga di sebuah sekolah di Sabak Bernam dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 2 pagi tadi.

Menurut laporan media, keluarga mangsa mendakwa kejadian berkenaan mempunyai unsur buli berdasarkan kecederaan patah pada bahagian rahang, pendarahan otak dan kecederaan paru-paru.

Mangsa kini dilaporkan ditidurkan di hospital dan masih dalam pemantauan rapi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan