KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 26 Sept untuk sebutan semula kes bank pelaburan, UBB Investment Bank Ltd (UBBIB), yang didakwa atas 53 pertuduhan gagal mengemukakan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) kepada Bank Negara Malaysia (BNM).
Hakim Azrul Darus menetapkan tarikh itu semasa sebutan kes hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Siti Suriatey Mohamed Yusoff dan peguam Mohd Haziq Dhiyauddin Razali, mewakili UBBIB.
Pada 26 Jun lepas, UBBIB yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Razlan Raghazli selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa atas 53 pertuduhan gagal melaporkan kepada BNM berkenaan 53 transaksi yang dilaksanakan dengan pelanggannya antara 2023 hingga 2024, dengan transaksi terbabit disyaki melibatkan hasil daripada aktiviti haram.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Pemasaran UBB Investment Bank Ltd, Desa Sri Hartamas, antara Januari 2023 hingga Disember 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 14(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 86 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.
UBBIB, sebagai pemegang lesen bank di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan 2010 [Akta 704] juga didakwa atas satu pertuduhan gagal menjalankan siasatan dengan usaha sewajarnya sebelum membuka akaun bagi seorang pelanggan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 2023 di Pejabat Pemasaran UBB Investment Bank Limited, di bawah Seksyen 187(1) Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan 2010, dibaca bersama Seksyen 98(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM3 juta, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan kes berkenaan.
-- BERNAMA