AM

HOSPITAL PARIT BUNTAR BAKAL BEROPERASI SEPTEMBER, MANFAATKAN 73,000 PENDUDUK

26/08/2025 04:02 PM

PARIT BUNTAR, 26 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 73,000 penduduk sekitar akan menerima manfaat menerusi pengoperasian Hospital Parit Buntar yang dijangka bermula 3 Sept ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata hospital itu menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk perubatan am, pembedahan am, pediatrik, obstetrik dan ginekologi serta ortopedik.

“Projek ini (pembinaan) diluluskan dengan kos RM173.3 juta di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-10 (RP3RMK10) merangkumi kos kontrak serta kos bagi peralatan perubatan dan bukan perubatan, yang telah siap sepenuhnya pada 23 Julai lepas.

“Projek secara konvensional ini melibatkan pembinaan enam blok bangunan dengan ketinggian tiga tingkat berserta wad berkapasiti 76 katil,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Hospital Parit Buntar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail serta Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A Sivanesan.

Sementara itu, Lukanisman berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperketat pemantauan terhadap kontraktor bagi menangani isu kelewatan pembinaan fasiliti kesihatan di seluruh negara.

Beliau berkata pihaknya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah mengadakan perbincangan bagi memutuskan penyelesaian bersesuaian dalam mengatasi isu itu.

“Setakat ini kita mengikut apa dinasihati pihak JKR dengan memberikan LAD (Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan) kepada kontraktor dan kita turut memantau secara agresif projek yang dilihat sebagai projek sakit.

“Kita tidak menolak terdapat beberapa projek yang agak lambat, walaupun demikian proses penyiapan projek ini memang memakan masa dan juga terdapat elemen lain yang menyebabkan kelewatan pembinaan,” katanya.

Lukanisman berkata antara faktor menyumbang kepada kelewatan pembinaan hospital di beberapa lokasi di seluruh negara ialah isu birokrasi, isu tanah dan kekangan tenaga buruh.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan