SEPANG, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang membangunkan Advanced Passenger Screening System (APSS) yang membolehkan saringan penumpang dilakukan lebih awal, sekali gus meningkatkan keselamatan perjalanan udara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata pelaksanaan ujian percubaan APSS dijangka dilakukan pada penghujung tahun ini, melibatkan 10 daripada 56 syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia.
“Akhirnya kita akan ada APSS, di bawah pengurusan KDN dari segi kawalan dan perolehan. Proses perolehan telah selesai, vendor telah dilantik, dan pembangunan sistem sedang dijalankan.
“Ujian percubaan (dry run) akan dilakukan hujung tahun ini, melibatkan 10 syarikat penerbangan sebagai permulaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran ‘Benteng Persada: Di Sempadan Kita Bersatu, Di Persada Kita Bermaruah’, inisiatif Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini.
Saifuddin berkata pelaksanaan APSS dipantau oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang sebelum ini beberapa kali hadir ke Malaysia bagi memastikan kepatuhan sistem mengikut jadual.
“Penumpang yang menggunakan 10 syarikat penerbangan berkenaan akan melalui sistem ini. Maklumat seperti nama penumpang, nombor pasport, tempat duduk dan pesanan makanan akan direkodkan dalam sistem.
“Kelebihannya, kita dapat mengetahui maklumat pengembara sebelum mereka berlepas, sekali gus mengurangkan insiden seperti not to land (NTL) dan memudahkan mitigasi isu keselamatan,” katanya.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha KDN Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
-- BERNAMA