JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN TIGA INDIVIDU, RAMPAS DADAH BERNILAI LEBIH RM 32,000

26/08/2025 06:05 PM

PEKAN, 26 Ogos (Bernama) -- Polis menumpaskan aktiviti pengedaran dadah dengan penahanan tiga individu termasuk sepasang suami isteri serta merampas dadah bernilai RM32,020 dalam dua serbuan berasingan di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata serbuan pada 7 malam itu dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Pekan.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Geylang, polis menahan seorang penganggur lelaki berusia 49 tahun yang memiliki lima rekod kes dadah. Pemeriksaan mendapati suspek menyimpan serangkai kunci peti besi dan sebuah peti besi di rumah itu. 

“Apabila peti besi itu dapat dibuka menggunakan kunci itu, polis menjumpai bungkusan plastik putih berisi 25 peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki syabu seberat 831.9 gram,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah beg berzip mengandungi bungkusan plastik lut sinar berisi pil disyaki yaba seberat 201.56 gram.

Mohd Zaidi berkata dalam serbuan kedua di Kampung Pelangkah, polis menahan suami isteri berusia 48 dan 28 tahun, masing-masing penganggur dan suri rumah.

“Lelaki itu memiliki 19 rekod lampau berkaitan dadah dan satu rekod jenayah, manakala isterinya memiliki tiga rekod kes dadah,” katanya.

Beliau berkata keseluruhan rampasan dadah seberat 1,033.46 gram itu dianggar mampu dibekalkan kepada 2,066 penagih dalam tempoh sehari.

Kesemua ditahan kini direman hingga 30 Ogos ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan