KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Cuaca di Putrajaya pada sebelah pagi esok, bersempena dengan hari pertama raptai sambutan Hari Kebangsaan 2025 diramalkan baik, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menerusi hantaran di Facebook, MetMalaysia bagaimanapun memaklumkan hujan dijangka berlaku pada sebelah petang, namun tiada hujan pada waktu malam.
Pada Khamis dan Jumaat pula, MetMalaysia meramalkan hujan berlaku pada sebelah pagi, tetapi keadaan baik pada sebelah petang serta malam.
Berdasarkan laporan cuaca yang dipaparkan menerusi laman sesawang MetMalaysia pula, suhu minimum dijangka pada 24 darjah Celsius, manakala suhu maksimum diramalkan mencecah hingga 34 darjah Celsius sepanjang tiga hari raptai berkenaan berlangsung.
Raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan pada Rabu hingga Jumaat ini bermula dari pukul 6 pagi hingga 11 pagi, yang turut melibatkan penutupan jalan sepanjang sesi raptai dijalankan.
Jalan raya di sekitar kawasan core island, Putrajaya akan ditutup kepada kenderaan persendirian bermula dari 6 petang Jumaat hingga tamat perbarisan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
-- BERNAMA