PETALING JAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa syarikat-pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk meningkatkan lagi pelaburan dalam usaha untuk mengurangkan jurang digital dalam kalangan rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata inisiatif korporat seumpama itu bukan sahaja dapat membantu membangunkan negara, malah memastikan tidak ada rakyat yang akan terpinggir daripada transformasi digital.
Menurut beliau, syarikat GLIC banyak membuat pelaburan besar dalam negara dan berharap mereka juga harus mengambil kira isu-isu yang dibangkitkan termasuk merapatkan jurang digital.
"Apa erti kita bicarakan soal connectivity (ketersambungan), 4G dan 5G, kita bicarakan soal kecerdasan buatan (AI), kemudian langsung tidak ada kaitan dengan majoriti rakyat kita yang terpinggir.
"AI dan transformasi digital harus juga menyelesaikan sebahagian daripada masalah yang disebut jurang digital antara kelompok yang bernasib baik di bandar dengan kelompok miskin bandar, desa dan pedalaman," kata beliau ketika melancarkan program CelcomDigi CD:NXT, CelcomDigi Hub, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam pada itu, Anwar turut melahirkan penghargaan terhadap CelcomDigi yang melaksanakan inisiatif CD:NXT untuk melahirkan generasi profesional yang mahir dalam AI dan bersedia meneraju transformasi digital negara.
"Inisiatif korporat CD:NXT CelcomDigi ini akan memenuhi sebahagian daripada keperluan kita, kerana sebagai syarikat yang besar CelcomDigi berperanan mengangkat martabat negara dalam bidang telekomunikasi, digital, dan AI.
"Itu sebabnya sekali lagi saya ucap terima kasih (kepada) CelcomDigi, kerana pelbagai cadangan saya kemukakan, saya minta CelcomDigi pilih sekolah angkat, pilih kampung angkat, saya minta bagi kemudahan-dan latihan dan CelcomDigi beri sambutan yang sangat baik," kata beliau.
-- BERNAMA