AM

MASYARAKAT PERLU SENTIASA WASPADA PASTIKAN PRODUK ADA SIJIL HALAL - ZULKIFLI

26/08/2025 08:28 PM

NILAI, 26 Ogos (Bernama) -- Masyarakat Islam terutama pengusaha premis makanan dinasihatkan sentiasa berwaspada dan memastikan sesuatu produk yang dibeli atau dimakan mempunyai pensijilan halal yang diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pensijilan halal JAKIM antara yang terbaik di dunia dan masyarakat perlu yakin dengan standard diguna pakai.

"Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menangani isu (tiada halal) dan kita menasihati orang awam supaya mengambil kira semua perkara dan sensitiviti. Insya-Allah di Malaysia kita mempunyai rakyat yang prihatin terhadap isu kehalalan.

"Prinsip tabayyun (semak maklumat) itu penting agar kita tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat serta boleh menganggu gugat ketenteraman awam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Rakan Siswa (RSY) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kepada 30 peserta di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media hari ini mengenai lebih 14,000 peket ayam sejuk beku dengan berat 29 tan yang diimport dari China dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perak melalui pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 12 Ogos lepas.

Setiap peket barangan itu didapati tertera logo halal JAKIM, selain turut dilabel dengan logo Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dengan pembungkusannya menggunakan Bahasa Melayu.

Dalam perkembangan berasingan, Zulkifli berkata majlis wacana cendekiawan MADANI Malaysia Indonesia (MALINDO MADANI) dijangka diperluas ke Jakarta, Indonesia tahun depan.

"Sebenarnya sudah ada perbincangan awal, malah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada menyebut di beberapa negara mengenai idea ini termasuk ke Timur Tengah, insya-Allah dengan gerak kerja yang ada kita akan mengarusperdanakan idea MADANI ini ke seluruh dunia," katanya.

MALINDO MADANI merupakan inisiatif strategik menghimpunkan para sarjana, pemimpin pertubuhan Islam, pembuat dasar dan tokoh masyarakat dari Malaysia-Indonesia serta negara serantau bagi membincangkan agenda peradaban berteraskan nilai Malaysia MADANI.

Pelaksanaan MALINDO MADANI turut menjadi wadah memperkukuh persefahaman rentas budaya dan agama, memartabatkan nilai keilmuan, serta mengangkat peranan Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam di peringkat Nusantara dan global.

Mengenai program hari ini, Zulkifli berkata pelantikan RSY merupakan antara langkah melestari gerakan dakwah di negara ini untuk generasi muda dan pelajar selain usaha menyokong dan memperkasakan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ilmu, kesejahteraan serta pembinaan masyarakat berakhlak mulia.

Beliau berkata setakat ini, RSY mempunyai 1,650 pimpinan membabitkan institut pendidikan guru, politeknik, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta empat pemimpin luar negara iaitu dari Mesir, Jordan, Korea Selatan dan Arab Saudi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan