KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Selasa apabila harga emas mencecah paras tertinggi lebih daripada dua minggu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan pemberhentian Gabenor Rizab Persekutuan AS, Lisa Cook.
Ia merupakan satu tindakan yang dilihat sebagai menjejaskan kebebasan bank pusat AS dan melemahkan keyakinan terhadap aset-aset AS.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2025 meningkat kepada US$3,378.6 setiap auns troy daripada US$3,364 pada Isnin.
Kontrak September 2025 naik kepada US$3,384.0 setiap auns troy daripada US$3,369.40 ketika ditutup pada Isnin manakala Oktober 2025 mengukuh kepada US$3,413.50 setiap auns troy daripada US$3,398.90 dan November 2025 meningkat kepada US$3,430.30 setiap auns troy daripada US$3,415.70.
Kontrak Disember 2025, Februari 2026 dan April 2026 masing-masing ditutup lebih tinggi pada US$3,450.70 setiap auns troy daripada US$3,436.10 pada Isnin.
Jumlah dagangan melonjak kepada 12 lot berbanding lima lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 32 kontrak daripada 38 kontrak sebelumnya.
Emas fizikal berharga US$3,334.25 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association (LBMA) pada 22 Ogos, 2025.
-- BERNAMA