LANGKAWI, 3 Sept (Bernama) -- Majlis Anugerah Bandar Lestari Alam Sekitar ASEAN (ESC) keenam dan Sijil Pengiktirafan (COR) kelima berlangsung di sini malam ini, bagi mengiktiraf kepimpinan dan inovasi bandar-bandar di rantau ini dalam usaha membina komuniti yang lebih hijau, selesa didiami dan berdaya tahan.
Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata majlis berkenaan yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME) ke-18 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, adalah bagi memberi penghormatan kepada bandar-bandar yang telah mempamerkan amalan cemerlang dalam pengurusan alam sekitar serta kelestarian.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah. Pencapaian anda adalah kebanggaan kepada negara masing-masing dan menjadi inspirasi kepada kita semua dalam usaha merealisasikan visi bersama ke arah ASEAN yang lebih hijau, lestari dan berdaya tahan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Makan Malam Menteri-Menteri sempena AMME ke-18 di sebuah hotel di sini malam ini.
Beliau berkata para peserta telah terlibat dalam perbincangan yang bermakna dan akan meneruskan sesi bersama rakan serantau bagi menangani pelbagai isu alam sekitar.
“Saya percaya perbincangan ini akan memberi manfaat dan membantu kita memperkukuh kerjasama serantau. Apa yang menyatukan kita ialah kesedaran bahawa cabaran alam sekitar seperti perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti tidak mengenal sempadan, maka penyelesaiannya juga perlu bersifat menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata Malaysia berbangga dengan pencapaian sepanjang mesyuarat itu, khususnya pengendorsan rasmi tiga Taman Warisan ASEAN baharu, iaitu Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pahang serta Taman Negara Bako dan Taman Negara Bukit Lambir, masing-masing di Sarawak.
Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Malaysia meraikan detik membanggakan apabila Kota Tinggi menerima Anugerah ESC, manakala Johor Bahru, Bandaraya Diraja Klang, Petaling Jaya, Hang Tuah Jaya, Banting dan Melaka, masing-masing menerima COR dalam pelbagai kategori sekali gus memperlihatkan komitmen negara untuk memperkukuh kelestarian pada peringkat tempatan.
Anugerah itu mengiktiraf pencapaian dalam lima kategori, iaitu Udara Bersih, Bumi Bersih, Air Bersih, Biodiversiti Bandar dan Kawasan Hijau, serta Ekonomi Kitaran sekali gus menyerlahkan tekad kolektif ASEAN untuk berkongsi amalan terbaik dan memperkukuh kerjasama ke arah masa hadapan lebih hijau serta mampan.
Pada majlis itu, sebanyak 10 bandar ASEAN menerima Anugerah ESC keenam, manakala 19 bandar lagi mendapat pengiktirafan COR kelima untuk pencapaian dalam lima kategori berkenaan.
-- BERNAMA