PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak Jaya, Sabah menjuarai pertandingan akhir Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku Peringkat Kebangsaan 2025 di Menara Komunikasi di sini hari ini.
SMK Kunak Jaya menerusi persembahan bertajuk “Namamu Kekal Dalam Sejarah” membawa pulang wang tunai RM6,000 berserta piala pusingan, plak dan sijil kemenangan yang disampaikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Naib Johan ialah Sekolah Seni Malaysia Sarawak dan tempat ketiga SMK Batu Maung, Pulau Pinang manakala SMK Idris Shah (Perak), SMK Sultan Abdul Jalil, Kluang (Johor) dan SMK Yam Tuan Radin (Negeri Sembilan) masing-masing meraih sagu hati.
Guru penyelaras SMK Kunak Jaya Rahmatia Saodi berkata berbangga dengan persembahan penuh bertenaga pelajar berhubung kisah perjuangan Datu Mohammad Salleh Datu Balu atau dikenali Mat Salleh.
“Kami menyampaikan kisah perjuangan Mat Salleh di Sabah dan anak-anak ini berjaya memberikan penghayatan yang sangat baik.
“Anak-anak ini berbakat dan kemenangan ini hasil usaha mereka serta kerjasama semua pihak yang membantu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pelajar tingkatan enam sekolah itu Siti Nurbayah Abdul Rahman, 18, berkata kejayaan menjuarai pertandingan tersebut merupakan pencapaian luar biasa dan bermakna buat warga sekolah.
“Kami berusaha sebaik mungkin. Walaupun masa latihan adalah terhad, kami mahu melakukan yang terbaik untuk guru kerana memberi sokongan kepada kami dan usaha itu berbaloi,” katanya.
Pertandingan Pengisahan Kenegaraan diperkenalkan pada 2003, merupakan sebahagian usaha berterusan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan nasional khususnya dalam kalangan generasi muda.
Pertandingan itu mengetengahkan elemen lakonan dan penceritaan yang mengangkat mesej kenegaraan, kisah tokoh pejuang kemerdekaan dan pemimpin negara serta sejarah perjuangan bangsa.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Julina Johan, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari.
-- BERNAMA