KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Hajat Malaysia melangkah awal ke pentas final Kejohanan Hoki Piala Asia 2025 tidak kesampaian selepas tewas pada perlawanan kedua pusingan ‘Super Four’ di tangan tuan rumah, India 1-4 di Bihar, hari ini.
Pada aksi berlangsung di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar itu, skuad Speedy Tigers terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan padang Muhammad Shafiq Hassan seawal minit kedua.
Bersambung suku kedua perlawanan, India bangkit membolosi gawang Malaysia hasil jaringan pukulan sudut penalti Manpreet Singh pada minit ke-17, jaringan padang Sukhjeet Singh selang dua minit kemudian dan Shilanand Lakra pada minit ke-24.
Vivek Sagar Prasad mencetak nama selaku penjaring keempat pasukan India pada minit ke-38 sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan itu.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia kini berada di kedudukan kedua berkongsi tiga mata dengan China yang menghuni tangga ke ketiga, sementara India (empat mata) mengungguli di tempat pertama.
Malaysia perlu mencari kemenangan pada perlawanan terakhir pusingan Super Four menentang Korea Selatan pada Sabtu ini
Mengikut format, dua pasukan terbaik di pusingan Super Four layak ke final kejohanan itu.
-- BERNAMA