JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI WARGA NEPAL PARAH DISERANG GAJAH DI POS BLAU

04/09/2025 08:41 PM

GUA MUSANG, 4 Sept (Bernama) -- Seorang buruh ladang warga Nepal cedera parah akibat diserang gajah liar di Ladang Metro Blau, Pos Blau, di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Shukri Abdulah atau nama asalnya Muti Bahadur Bayambu, 54, dalam perjalanan pulang ke rumah, kira-kira 5.30 petang.

"Mangsa yang menaiki motosikal ketika itu menemukan kesan tapak kaki gajah sebelum bertindak mengintai haiwan berkenaan. 

"Tanpa disedari, seekor gajah telah melibas mangsa menggunakan belalai dan mengheretnya lebih kurang 100 meter dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa turut dipijak dan dibawa ke bahagian bawah bukit sebelum ditemukan pekerja ladang yang lain selepas terdengar mangsa menjerit kesakitan. 

"Mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi kerana mengalami beberapa kecederaan serius melibatkan bahagian kaki, dada dan leher," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan