SUKAN

MAMEE TERUS SOKONG TANG JIE-EE WEI SASAR EMAS OLIMPIK

05/09/2025 08:29 AM

SUBANG JAYA, 4 Sept (Bernama) -- Pengeluar makanan dan minuman, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd bertekad meneruskan sokongan terhadap beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, dengan harapan mereka mampu mencipta sejarah sebagai juara Olimpik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pierre Pang berkata sambutan di Monster Loft, Subang Jaya hari ini bukan sahaja meraikan kejayaan pasangan itu menjulang kejuaraan dunia edisi 2025, malah bukti komitmen syarikat untuk terus bersama mereka dalam perjalanan seterusnya.

“Ee Wei pernah menerima biasiswa daripada Mamee dua tahun lalu, bagi menyokong kariernya. Kami juga memberi ganjaran secara berperingkat sebagai penghargaan atas usaha gigih mereka.

“Kami berharap dapat menyokong mereka sehingga bergelar juara Olimpik. Apa yang diberikan hanyalah bentuk sokongan, bukan berbentuk ‘endorsement’, sebaliknya sebagai ganjaran atas kerja keras mereka,” katanya.

Pada majlis itu, Mamee menyerahkan insentif RM50,000 kepada Tang Jie dan Ee Wei yang turut disaksikan jurulatih negara, Nova Widianto.

Pierre berkata, Ee Wei juga dianggap sebahagian daripada keluarga besar Mamee kerana ibunya telah berkhidmat lebih 30 tahun bersama syarikat itu.

“Dia wira negara dan juga sebahagian keluarga Mamee. Dari kecil kita sudah melihat perjalanan susahnya hingga kini muncul juara dunia. Kami sangat berbangga dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ee Wei menzahirkan penghargaan kepada syarikat itu sambil menyifatkan kemenangan di Paris sebagai hadiah buat keluarganya.

“Saya mahu berterima kasih kepada Mamee kerana menjaga kami. Mak saya sudah bekerja di Mamee selama 33 tahun dan kemenangan ini juga hadiah untuk keluarga saya,” katanya.

Tang Jie pula bersyukur diberi penghargaan Mamee meskipun bukan sebahagian daripada keluarga syarikat itu, dan menegaskan mereka kini kembali fokus terhadap latihan selepas kejayaan di Paris.

Pasangan ranking keempat dunia itu menghadiahkan Malaysia detik penuh bermakna bersempena sambutan Hari Merdeka apabila menewaskan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 dalam masa hanya 40 minit pada aksi final kejohanan di Adidas Arena di Paris.

Dengan sorakan "Merdeka!" bergema di arena, Ee Wei jelas menguasai permainan di jaring, manakala Tang Jie tampil cemerlang mengawal gelanggang belakang sekali gus menjadi beregu campuran pertama Malaysia muncul juara dunia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan