SUNGAI PETANI, 6 Sept (Bernama) -- Mayat seorang lelaki ditemukan di dalam sebuah kereta di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Bandar Perdana dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata mangsa dikenali sebagai Amear Mat Isa, 51, berasal dari Kampung Bukit Choras, Pendang.
“Pada 3.15 petang semalam, kami menerima panggilan memaklumkan terdapat sebuah kereta diletakkan di kawasan parkir stesen minyak berkenaan sejak Khamis lalu.
“Di dalamnya terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak bergerak dan kenderaan itu berbau busuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal di lokasi kejadian tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah.
“Mangsa mempunyai rekod penyakit dan kenderaan itu dikesan masuk ke kawasan berkenaan pada 3 pagi Rabu lalu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini, untuk bedah siasat,” katanya.
-- BERNAMA