DUNIA

HUTAN PREY LANG KEMBOJA LINDUNGI POPULASI UNGKA "PILEATED" TERBESAR DUNIA

05/09/2025 01:14 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 5 Sept (Bernama) -- Hutan tebal dan tenang di Kemboja menjadi tempat perlindungan kepada populasi ungka pileated (pileated gibbon) terbesar di dunia.

Kira-kira dua pertiga daripada 47,000 ungka pileated yang masih tinggal di dunia mendiami Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Prey Lang yang kaya dengan biodiversiti, meliputi kawasan utara-tengah negara itu. Hutan hujan ini dianggap antara hutan tanah pamah terbesar yang masih wujud di Asia Tenggara.

“Hasil tinjauan kami menunjukkan Prey Lang adalah perlindungan penting untuk ungka pileated, bukan hanya untuk Kemboja tetapi juga bagi kelangsungan spesies ini di peringkat global,” kata Pengurus Pemuliharaan Wild Earth Allies Kemboja, Neang Thy kepada Bernama.

Hutan hujan Indochina merupakan habitat asal spesies terancam ini, yang turut dikenali sebagai ungka “bermahkota” kerana bentuk unik seperti mahkota di kepala.

Tabiat mereka yang suka “bernyanyi” sambil melompat dari dahan ke dahan menjadikan ungka pileated unik dalam keluarga ungka, menurut pakar hidupan liar.

Populasi global ungka pileated merosot separuh sejak 1970-an akibat pemburuan dan kehilangan habitat.

Namun di Hutan Prey Lang, ia terus bertahan di kawasan seluas lebih 5,000 kilometer persegi yang turut mengandungi lapan jenis hutan berbeza, menyokong kepelbagaian hidupan, menurut Wild Earth Allies.

Sekurang-kurangnya 18 mamalia terancam hidup di hutan ini - termasuk gajah Asia, beruang matahari Malaya dan kura-kura kotak Malaya.

Seperti hidupan liar lain, ungka pileated memainkan peranan penting dalam ekosistem semula jadi mereka.

“Sebagai spesies yang hidup di pokok, ungka pileated bergantung kepada hutan utuh untuk terus hidup. Ungka pileated membantu membentuk habitat mereka dengan menyebarkan benih semasa bergerak di kanopi. Pergerakan mereka menyokong kepelbagaian tumbuhan dan pemulihan hutan,” menurut organisasi itu.

Walaupun Kemboja komited melindungi Prey Lang, kegiatan pembalakan haram terus mengancam ungka pileated dan hidupan liar lain yang berisiko.

Kehilangan pokok amat ketara di kawasan hutan malar hijau tanah pamah yang menjadi kebergantungan utama ungka pileated.

Jalan raya dan kawasan yang ditebang habis, boleh memecahkan habitat ungka pileated dan mengasingkan kumpulan mereka, sekali gus meningkatkan risiko kepupusan setempat, menurut Wild Earth Allies.

“Di Prey Lang, kami melibatkan sekolah dan komuniti dalam pendidikan pemuliharaan serta merancang melancarkan kempen bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan penting Kemboja dalam kelangsungan global spesies ini,” menurut kenyataan organisasi itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan