KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada seorang veteran Polis Diraja Malaysia di Pahang sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan beliau dalam menjaga keselamatan negara.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri iaitu Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi Juhari Sinjak, 79, di kediamannya di Kampung Paya Keladi, Pahang.
“Walaupun beliau kini lumpuh separuh badan namun beliau tetap tabah menjalani kehidupan seharian. Ziarah MADANI ini bukan sekadar kunjungan tetapi tanda kasih dan penghargaan atas jasa serta pengorbanan beliau menjaga keamanan negara.
“Semoga bantuan kecil yang diberikan, sedikit sebanyak meringankan beban di samping menjadi bukti bahawa pengorbanan para veteran sentiasa kita hargai dan tidak pernah dilupakan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini yang turut dikongsikan oleh Perdana Menteri.
-- BERNAMA