BERITA TERGEMPAR   Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | 
 AM

HAMPIR 10,000 HEKTAR TANAMAN PADI MADA BERPOTENSI DITUKAR UNTUK PEMBANGUNAN

07/09/2025 12:50 PM

BALING, 7 Sept (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengenal pasti hampir 10,000 hektar kawasan tanaman padi di bawah seliaannya, yang berpotensi untuk digantikan dengan pembangunan lain termasuk perumahan dan industri.

Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata kebanyakan kawasan tersebut, membabitkan kawasan tanaman padi di sekitar Alor Setar dan Jitra.

“Kawasan baharu yang dikenal pasti untuk penukaran (daripada tanaman padi kepada pembangunan) dalam hampir 10,000 hektar, yang pemetaannya telah dibuat oleh pejabat daerah.

“Pemetaan (kawasan yang boleh dibangunkan) itu bila letak atas peta kami (MADA), maka itulah jumlahnya, hampir 10,000 hektar (kawasan tanaman padi),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, Ismail berkata jumlah 10,000 hektar kawasan tanaman padi itu tidak dibangunkan sekali gus kerana pembangunan akan berjalan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata sekiranya kawasan tanaman padi seliaan MADA ditukar untuk pembangunan, pihaknya akan berusaha menggantikan dengan kawasan tanaman baharu bagi menjamin keterjaminan makanan negara.

Ismail berkata ketika ini, MADA memiliki kira-kira 100,000 hektar kawasan tanaman padi dan telah menjalankan usaha meluaskan kawasan itu, termasuk di luar kawasan MADA.

Beliau berkata MADA kini sedang mendapatkan kira-kira 3,000 hektar tanah untuk dijadikan kawasan tanaman padi, yang akan meningkatkan keluasan kawasannya kepada 103,000 hektar.

“Walaupun mungkin dalam kawasan MADA, prime area, kawasan bandar mungkin berlaku sedikit penukaran kepada perumahan dan industri, tetapi kawasan-kawasan baharu akan menggantikan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju agar status kawasan tanaman padi di bandar utama di negeri itu ditukar bagi tujuan pembangunan perumahan dan industri.

“Saya bagi pandangan dan Jemaah Menteri bersetuju untuk kita perluas sedikit kawasan pembangunan dengan mengurangkan kawasan jelapang padi.

“Setiausaha Kerajaan Negeri sedang berunding bagi mengenal pasti kawasan baharu supaya keperluan Kedah daripada aspek industri, perumahan dan komersial dapat dijamin,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan