MELAKA, 7 SEPT (Bernama) -- Tahap persiapan dan kesiapsiagaan Kerajaan Negeri Melaka bagi keseluruhan program sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 mencapai 90 peratus.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad berkata selain itu, Melaka turut bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyelaras pelbagai aspek termasuk sokongan logistik, persiapan majlis perasmian, lawatan bagi program pasangan dan persembahan kebudayaan.
"Penganjuran acara berprestij ini merupakan satu penghormatan besar serta pengiktirafan kepada Melaka sebagai destinasi pilihan penganjuran mesyuarat bertaraf antarabangsa.
"Kerajaan negeri berbesar hati memainkan peranan penting dalam menyokong kerjasama serantau untuk menangani jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks seperti pemerdagangan manusia, jenayah siber, keganasan, penyeludupan senjata api, pengubahan wang haram serta penyeludupan migran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata lebih 300 delegasi terdiri daripada negara anggota ASEAN, negara rakan dialog iaitu China, Jepun dan Korea Selatan serta negara pemerhati Timor-Leste terlibat sepanjang AMMTC yang berlangsung selama lima hari bermula esok.
Menurut beliau, para delegasi dijadual tiba di Melaka bermula esok dan majlis perasmian AMMTC ke-19 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.
Azhar berkata kerajaan negeri percaya penganjuran AMMTC Ke-19 akan mengukuhkan hubungan Melaka dengan negara anggota ASEAN dan rakan dialog di samping memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa.
Beliau berkata selain itu, ia merupakan peluang besar untuk mempromosikan Melaka di mata dunia sebagai destinasi mesyuarat dan pelancongan bertaraf dunia.
AMMTC merupakan platform bagi menerajui usaha ASEAN dalam memerangi pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan yang diwujudkan sejak 1997 dan penganjuran kali ke-19 melibatkan kesemua 10 negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Tujuan utama AMMTC adalah memperkukuh kerjasama antara negara anggota dalam menyelaras dasar, undang-undang, perkongsian maklumat serta menjalankan latihan bersama bagi meningkatkan keupayaan menangani jenayah secara lebih berkesan, bukan sahaja di peringkat serantau malah juga dengan negara rakan dialog ASEAN.
Mesyuarat kali ini memberi fokus pada peranan ASEAN sebagai sebuah rantau dalam menghadapi cabaran baharu jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks dan mencabar.
-- BERNAMA