PUTRAJAYA, 8 Sept (Bernama) -- Malaysia memperkukuh komitmen terhadap peralihan tenaga yang mampan melalui penganjuran program Nuclear Leaders for Energy Transition (NLET) 2025 yang berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini.
Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan NLET 2025 menghimpunkan 25 peserta dari 17 negara, terdiri daripada penggubal dasar, jurutera dan penyelidik yang dicalonkan oleh negara masing-masing.
Sepanjang NLET 2025, peserta berpeluang menghadiri siri syarahan pakar daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom (ATOM Malaysia), MyPOWER Corporation, Tenaga Nasional Bhd (TNB), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Malaysia Energy Literacy Program (MELP).
“Antara elemen penting dalam NLET adalah projek integrasi dasar selama dua hari, iaitu peserta akan membangunkan cadangan dasar peralihan tenaga berdasarkan landskap dan keperluan negara masing-masing.
“Peserta juga berpeluang melawat reaktor penyelidikan nuklear negara, loji tenaga solar, loji janakuasa berasaskan arang batu dan gas asli serta fasiliti pengurusan sisa radioaktif,” menurut kenyataan itu.
Nuklear Malaysia memaklumkan penganjuran NLET 2025 memperkukuh peranan Malaysia sebagai negara serantau dalam pembangunan tenaga rendah karbon dan pelaksanaan dasar teknologi nuklear yang selamat dan bertanggungjawab.
“Usaha ini mencerminkan tekad yang berterusan negara dalam menyokong matlamat global ke arah net zero emission (pelepasan karbon sifar bersih) menjelang 2050. Tenaga nuklear diiktiraf sebagai antara pilihan teknologi rendah karbon yang berpotensi menyokong peralihan tenaga global,” menurut kenyataan itu.
Sebagai satu daripada Pusat Latihan Serantau (RTC) Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam bidang keselamatan dan sekuriti nuklear, Malaysia komited untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dan memperkukuh kapasiti tenaga mahir dalam bidang ini.
“NLET 2025 dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan dasar, jaringan profesional dan pelaksanaan teknologi tenaga baharu yang lebih lestari dan inklusif sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju peralihan tenaga di peringkat global,” menurut kenyataan itu.
NLET 2025 dianjurkan Nuklear Malaysia di bawah kerangka Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
MTCP adalah satu inisiatif Kementerian Luar Negeri yang mencerminkan komitmen Malaysia terhadap Kerjasama Selatan-Selatan serta perkongsian pengetahuan dengan negara membangun lain.
Sejak ditubuhkan pada 1980, MTCP telah memberi manfaat kepada lebih 38,000 peserta daripada 144 negara dalam bidang seperti tadbir urus, sains, teknologi dan pembangunan mampan.
-- BERNAMA