ALOR GAJAH, 9 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki warga asing ditemukan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel di kawasan Litar Go-Kart, Jalan Padang Keladi, Durian Tunggal di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah DSP Azrul Mohamed berkata siasatan awal mendapati pintu pagar rumah kuasa milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah terbuka selain terdapat kabel-kabel yang dipotong dalam kejadian kira-kira 2.14 petang itu.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia lingkungan 29 tahun, warga Myamar dan pemegang kad UNHCR, ditemukan terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang bersebelahan rumah kuasa berkenaan.
”Mangsa disyaki terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel-kabel berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul berkata pemeriksaan lanjut pihak polis juga mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh badan mangsa dan lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan yang hadir ke lokasi.
Mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
-- BERNAMA