BEIJING, 9 Sept (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping menyampaikan ucapan bertajuk "Bersatu Padu Mara dengan Semangat Kental" pada Sidang Kemuncak Pemimpin Negara BRICS secara dalam talian di sini malam Isnin.
Xi berkata, di sebalik situasi semasa dunia yang penuh dengan pergolakan, amalan hegemoni, unilateralisme dan perlindungan perdagangan semakin berleluasa di merata tempat.
BRICS selaku blok pertama dalam barisan Selatan Global, diharap menyemarakkan semangat keterbukaan, inklusif, kerjasama dan sama menang, mempertahankan amalan multilateralisme, memelihara mekanisme perdagangan pelbagai hala, mendorong "kerjasama BRICS Raya", serta bersama-sama membentuk komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Sehubungan itu, beliau mengemukan tiga cadangan iaitu mengekalkan amalan multilateralisme dan membela keadilan antarabangsa; mempertahankan keterbukaan demi sama menang dan melindungi orde perdagangan antarabangsa, di samping menjaga solidariti dan kolaborasi serta menjana impak sosial demi pembangunan bersama.
Sidang kemuncak yang dipengerusikan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva itu turut mencapai kesepakatan bahawa BRICS perlu memperkasakan perpaduan dan kerjasama, menangani krisis dan cabaran, memelihara amalan multilateralisme, mempertahankan sistem perdagangan antarabangsa yang bebas dan terbuka, di samping memastikan kepentingan Selatan Global terjamin.
Para perwakilan turut bersetuju mengekalkan interaksi berhubung pelbagai isu hangat seperti krisis Ukraine dan konflik Gaza.
Turut hadir ialah Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa, Presiden Mesir Abdul Fatah Al-Sisi, Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Putra Mahkota Abu Dhabi Emiriah Arab Bersatu Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed serta perwakilan dari India dan Ethiopia.
-- BERNAMA-CMG