AM

JAMBATAN GANTUNG BAHARU POS BALAR SIAP SEBULAN AWAL

09/09/2025 10:10 PM

GUA MUSANG, 9 Sept (Bernama) -- Jambatan baharu merentasi Sungai Balar di sini yang menggantikan jambatan runtuh pada Mei lepas telah siap dibina dan mula digunakan penduduk sejak 7 Sept.

Jurucakap Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu berkata projek bernilai RM350,000 itu bermula pada 25 Jun lepas dan siap kira-kira sebulan lebih awal daripada jangkaan pada 1 Okt 2025.

“Jambatan gantung berukuran lebih 120 meter itu dibina khusus bagi memudahkan penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan, yang terputus hubungan sejak jambatan lama musnah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar Hanan Anjang berkata lebih 1,000 penduduk kini menikmati kemudahan jambatan kekal yang lebih selamat dan kukuh.

“Penduduk Pos Balar berterima kasih kepada kerajaan dan JAKOA kerana membina semula jambatan ini, yang kini boleh dilalui motosikal dan pejalan kaki,” katanya.

Terdahulu, jambatan asal runtuh pada 9 Mac akibat arus deras susulan hujan lebat, manakala jambatan sementara yang dibina penduduk menggunakan besi terpakai dan kayu turut runtuh pada 18 Mei.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan