KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Harga minyak melonjak susulan laporan Doha, ibu negara Qatar, menjadi sasaran serangan udara Israel atas alasan menyasarkan pemimpin Hamas.
Setakat pagi ini, minyak mentah Brent meningkat 0.56 peratus kepada US$66.39 setong manakala minak mentah WTI menokok 0.54 peratus kepada US$62.97 setong (US$1 = RM4.21).
Ketua Analisis Geopolitik Rystad Energy Jorge Leon berkata tindakan Israel itu hanya menjadi satu lagi tindakan yang memburukkan lagi ketegangan di Timur Tengah.
“Risiko penularan krisis itu ke seluruh rantau semakin ketara. Sebahagian besarnya akan bergantung kepada tindak balas Qatar yang juga sekutu rapat Amerika Syarikat dan anggota utama Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Tindakan Qatar seterusnya akan membentuk trajektori dinamik serantau," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Beliau turut mengingatkan sebarang impak itu akan memburukkan lagi ketegangan di seluruh rantau Teluk, malah melangkaui wilayah itu yang membuktikan keadaan genting ketika ini.
“Rundingan (membabitkan pihak Hamas) yang sememangnya goyah sebelum ini, kini kelihatan tertutup terus dan hanya menyuramkan lagi prospek bagi menyelesaikan krisis itu dalam masa terdekat,” kata Jorge.
Dalam pada itu, Qatar telah mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel yang menyasarkan bangunan kediaman beberapa anggota Biro Politik Hamas di Doha dan menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap semua undang-undang dan norma antarabangsa selain menjadi ancaman serius ke atas keselamatan rakyat Qatar dan warga asing di negara itu.
-- BERNAMA