AM

UKM SEDIA PELBAGAI INISIATIF BANTUAN UNTUK MAHASISWA, SALUR LEBIH RM6.5 JUTA TAHUN LEPAS

12/09/2025 05:24 PM

BANGI, 12 Sept (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan pelbagai inisiatif bantuan kebajikan kepada mahasiswa termasuk penuntut baharu supaya kesejahteraan dan kebajikan mereka terpelihara selain memastikan tiada yang dipinggirkan. 

Naib Canselor UKM Prof Dr Sufian Jusoh berkata peruntukan lebih RM6.5 juta yang memberi manfaat kepada kira-kira 8,000 mahasiswa disalurkan pada 2024 membuktikan komitmen tinggi universiti memastikan pelajar dapat mengikuti pengajian dengan baik.

Antara inisiatif disediakan ialah bantuan awal berjumlah RM1,200 kepada penuntut baharu khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah, bantuan zakat UKM, kebajikan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan bantuan lain.

“Kalau mengikut data sebelum ini, hampir separuh pelajar (di UKM) adalah daripada golongan pendapatan rendah.

“(Jadi) untuk pelajar baharu, kita ada bantuan awal pendidikan pelajar. Kita beri pendahuluan RM1,200 untuk mereka datang mendaftar selain ada bantuan pembelajaran merangkumi komputer riba atau tablet,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat HEP UKM Prof Dr Norinsan Kamil Othman yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumni UKM.

Sufian menegaskan setiap bantuan disalurkan UKM terbuka kepada semua mahasiswa atau penuntut baharu tanpa mengira bangsa atau agama.

Mengambil contoh kisah tular Muhammad Aidil Izzuddin Akhbar Nizam, 19, dari Pahang menghadapi masalah kewangan untuk hadir mendaftar, beliau berkata HEP-UKM telah mengambil inisiatif menghubungi pelajar itu bagi memaklumkan bantuan awal pendidikan.

“Dia cuma perlu datang mendaftar dan kita akan bagi bantuan peralatan asrama untuk dia, dengan nilai itu sebenarnya lebih daripada RM1,200,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata UKM telah membangunkan aplikasi dalaman iaitu e-Prihatin-UKM bagi membolehkan mahasiswa yang mempunyai masalah kewangan memohon bantuan dengan universiti secara dalam talian.

“Kita memang sentiasa membantu pelajar baharu dan sedia ada, selain mempermudah mereka mendapatkan bantuan. Jika permohonan lengkap, kita akan terus memberi bantuan segera,” katanya. 

Sufian berkata setakat ini, sebanyak 3,800 daripada 4,227 pelajar telah bersetuju menerima tawaran bagi program Ijazah Sarjana Muda bagi pendaftaran pada 27 Sept.

“Kita tidak ada data kenapa (ada) yang menolak tetapi daripada pengalaman, mereka hendak ke universiti atau mengambil kursus lain selain ada yang mahu ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata data itu dikemas kini malam tadi, bermaksud berkemungkinan akan berlaku penambahan daripada segi penerimaan pelajar.

Dalam pada itu, beliau memohon Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melanjutkan tarikh akhir pelajar mengemas kini maklumat kursus pengajian kepada 19 Sept berbanding 15 Sept, kerana terdapat beberapa perubahan nama program akademik.

“Tindakan ini penting bagi memastikan pelajar tidak terjejas dalam permohonan pinjaman terutamanya apabila nama kursus dalam sistem PTPTN belum dikemas kini,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan