JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ KELANTAN, MOTAC LAKSANA OPERASI BERSEPADU KESAN KENDERAAN ASING SALAH GUNA ICP

13/09/2025 04:41 PM

KOTA BHARU, 13 Sept (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi melaksanakan operasi bersepadu mengesan kenderaan asing yang menyalahgunakan Permit Edaran Antarabangsa (ICP).

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata operasi itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat, dengan memberi tumpuan terhadap kenderaan asing yang memasuki negara ini tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.

“Julai lepas kami telah berbincang dengan MOTAC untuk melaksanakan operasi bersepadu mengesan kenderaan asing persendirian yang menyalahgunakan ICP.

“Pemilik kenderaan asing persendirian didapati membawa pelancong masuk ke negara ini tanpa permit yang sah,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Merdeka Persatuan Institut Memandu Kelantan dan JPJ di Kompleks Sukan dan Belia, Panji di sini hari ini.

Beliau berkata operasi bersepadu itu akan diberi tumpuan pada musim cuti, khususnya cuti perayaan dan persekolahan berikutan peningkatan kemasukan kenderaan asing.

Mohd Misuari berkata aktiviti membawa pelancong menggunakan kenderaan asing persendirian dikesan semakin aktif, justeru pihaknya akan mempertingkatkan operasi bersama MOTAC serta agensi lain yang berkaitan.

“Kami sentiasa melaksanakan operasi bagi mengesan kenderaan asing yang menyalahi ICP, bukan hanya tertumpu kepada satu atau dua operasi,” katanya.

Beliau berkata kenderaan asing, khususnya dari Thailand memasuki negeri berkenaan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Pengkalan Kubor di Tumpat serta Bukit Bunga di Tanah Merah.

“Operasi bersepadu ini juga akan dilaksanakan bersama kerjasama agensi lain,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan