KANGAR, 13 Sept (Bernama) -- Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) maut selepas kereta dipandu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan ayam di persimpangan lampu isyarat Dato’ Ali Jalan Kangar-Alor Setar di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata mangsa Nurhanim Rabia’an, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dalam kejadian pada 2.30 pagi itu.
Beliau berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah Alor Setar menghala ke Kangar melalui Jalan Alor Setar-Kangar mengalami masalah brek di persimpangan lampu isyarat, sebelum bertembung dengan kereta Proton Saga FL dipandu guru berkenaan dari arah Jalan Dato' Ali menghala ke Kangar Jaya.
“Pemandu lori yang cedera pada bahagian lutut kiri serta luka siku kiri dan kanan itu dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar bagi mendapatkan rawatan, manakala pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusharifuddin berkata mayat guru KAFA itu dibawa ke HTF dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA