AM

CADANGAN RUU PENGAMAL PARAMEDIK DALAM SEMAKAN AGC

18/09/2025 04:48 PM

KOTA BHARU, 18 Sept (Bernama) -- Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pengamal Paramedik ketika ini masih dalam semakan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Datuk Seri Zahrul Hakim berkata selepas selesai di peringkat AGC, cadangan RUU itu akan diserahkan kepada Jemaah Menteri pula untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Di peringkat KKM, Bahagian Amalan Perubatan telah mengadakan libat urus untuk melihat dan memperkasakan semula Akta Pembantu Perubatan (Pendaftaran) 1977 (Akta 180), yang sudah berusia lebih 40 tahun, dengan memasukkan klausa-klausa baharu yang lebih relevan melibatkan profesion penolong pegawai perubatan.

“Sesi libat urus bersama pihak yang terlibat telah pun diselesaikan dan saya percaya cadangan RUU ini akan dibawa ke Parlimen pada suku pertama atau kedua tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Persidangan Perwakilan Dwitahunan ke-27 dan Mesyuarat Exco kali ke-132 Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia di sini hari ini.

Zahrul berharap cadangan RUU itu akan memberi lebih penambahbaikan kepada profesion penolong pegawai perubatan kerana mereka juga petugas barisan hadapan yang tidak gentar untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan berdepan situasi banjir pada musim tengkujuh, Zahrul berkata pihaknya telah mengarahkan semua hospital dan klinik kesihatan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika musim banjir.

“Dari segi logistik dan bekalan ubatan pula, kami akan pastikan ia mencukupi untuk mengelakkan terputusnya sistem penyampaian terutama bekalan perubatan di kawasan yang terjejas banjir.

“Kami juga akan sentiasa bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi lain sebab apabila banjir mungkin ada jalan yang tidak boleh dilalui dan kita memerlukan bantuan daripada pihak yang terlibat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan