AM

PERDA, USM PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK BANGUNKAN MODAL INSAN, USAHAWAN

18/09/2025 04:46 PM

GEORGE TOWN, 18 Sept (Bernama) – Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) memperkukuh kerjasama strategik dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membangunkan modal insan, mempertingkatkan penyelidikan serta merangsang keusahawanan komuniti setempat.

Pengerusi PERDA Datuk Dr. Shaik Hussein Mydin berkata kerjasama itu memanfaatkan kepakaran teknikal kedua-dua pihak khususnya dalam meningkatkan kemahiran pelajar dan tenaga pengajar di PERDA-TECH serta melahirkan usahawan berdaya saing dan profesional.

“Kerjasama ini bukan sahaja memberikan nilai tambah kepada pembangunan modal insan tetapi juga menyokong agenda penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan produk sebagai pemangkin ekonomi setempat. 

“Dengan kekuatan penyelidikan USM dan sokongan komuniti, usaha ini akan memberikan manfaat besar kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERDA dengan USM di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor USM Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Shaik Hussein berkata majlis menandatangani MoU itu telah diadakan di USM pada 6 Nov tahun lepas dengan PERDA diwakili Pengurus Besar Datuk Mohd Asri Baharum manakala Abdul Rahman mewakili institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Menurut beliau MoU itu membolehkan kedua-dua pihak mengambil langkah perlu bagi mempromosikan, membangun serta menubuhkan program kerjasama meliputi pelbagai bidang termasuk pertukaran pelajar dan kakitangan, penyelidikan, pendidikan, TVET, keusahawanan, pembangunan komuniti serta penerbitan bersama.

Sebagai permulaan, katanya dua projek rintis telah dilaksanakan termasuk membabitkan kerjasama dengan usahawan PERDA iaitu Jeruk Madu Pak Ali, bagi menghasilkan baja organik bernilai tambah daripada sisa kulit buah-buahan yang dipelopori Dr. Muaz Mohd Zaini Makhtar dari Pusat Pengajian Teknologi Industri USM.

“Projek kedua pula menyaksikan PERDA membantu anak syarikat USM, IMTANOMIC Sdn Bhd diketuai Prof Madya Dr. Majid Khan Majahar Ali dalam meneroka aspek pengkomersialan produk khususnya pembangunan pembungkusan yang meningkatkan daya tarikan di pasaran,” katanya.

Terdahulu, pada majlis tersebut PERDA turut menyerahkan replika cek berjumlah RM20,000 kepada dua syarikat terbitan (spin-off) USM iaitu IMTANOMIC Sdn. Bhd dan projek R&D Jeruk Pak Ali sebagai sokongan terhadap penyelidikan dan inovasi mereka.

Shaik Hussein berkata kerjasama antara PERDA dan USM itu diharap dapat memperkukuh lagi usaha membangunkan komuniti luar bandar, menyediakan peluang keusahawanan serta memperluas akses pendidikan dan kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran kerja.

Sementara itu, Abdul Rahman berharap PERDA terus menjadi rakan strategik utama dalam membawa teknologi penyelidikan USM ke lapangan sebenar sekali gus menjadikan PERDA lebih ke hadapan dalam inovasi dan penyelidikan yang menyokong pembangunan usahawan-usahawan di Pulau Pinang.

“Kejayaan dua projek rintis yang telah dijalankan membuktikan bagaimana kedua-dua pihak saling melengkapi demi manfaat usahawan dan masyarakat.

"Justeru USM percaya ruang kerjasama dapat terus diperluas dengan mengaplikasikan lebih banyak teknologi yang dibangunkan di USM untuk kegunaan PERDA,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan