SUKAN

TFC LONJAK KE TANGGA KEDUA SELEPAS BENAM MELAKA FC 4-0

19/09/2025 11:38 PM

KUALA NERUS, 19 Sept (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) meraih tiga mata berharga selepas membenam Melaka FC 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam ini.

Kedua-dua pasukan memulakan babak pertama dengan tempo perlahan, namun TFC terlebih dahulu menguji benteng pelawat menerusi percubaan penyerang import, Yan Mabella, seawal minit kesembilan yang sedikit tersasar ke sebelah kanan gawang.

Pemain kelahiran Perancis itu bagaimanapun menebus kekecewaan apabila membuka jaringan hasil hantaran lintang Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-26.

Nurillo Tikhtasinov kemudian menggandakan jaringan buat TFC pada minit ke-33 untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Malang menimpa Melaka FC apabila pertahanannya, Che Rashid Che Halim, dilayangkan kad merah oleh pengadil Muhammad Shukor Zilkiflee selepas menampan bola menggunakan tangan dalam kotak penalti ketika cuba menafikan sepakan sudut Gabriel Silva.

Kesilapan itu turut menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah yang tenang disempurnakan Careca pada minit ke-45.

Ketika babak pertama hampir berakhir, Mabella menambah derita pelawat dengan gol keempat TFC sekali gus menceriakan lebih 4,000 penyokong yang hadir.

Bersambung babak kedua, TFC terus melancarkan asakan namun beberapa peluang terhidang gagal dimanfaatkan akibat ketumpulan penyudah.

Keputusan kekal 4-0 hingga wisel penamat sekali gus melonjakkan skuad bimbingan Badrul Afzan Razali ke tangga kedua liga dengan 10 mata selepas lima perlawanan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan