AM

USM LANCAR APLIKASI "CAKNASTROK" PERMUDAH URUSAN PENJAGA PESAKIT

18/09/2025 05:22 PM

KOTA BHARU, 18 Sept (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) hari ini melancarkan aplikasi mudah alih “CaknaStrok” untuk meningkatkan kualiti penjagaan pesakit strok di seluruh negara.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam PPSP USM Prof Dr Kamarul Imran Musa berkata platform itu dapat menyediakan panduan, sokongan dan saluran komunikasi berterusan antara pesakit, penjaga serta profesional kesihatan kerana modulnya dibina pakar perubatan bertauliah.

Beliau berkata inisiatif mencipta aplikasi itu susulan penyakit strok merupakan penyakit kardiovaskular kedua tertinggi di Malaysia dengan bilangan kira-kira 2,000 hingga 3,000 pesakit strok baharu setiap tahun di seluruh negeri.

“Kebanyakan pesakit hanya mendapatkan rawatan dalam tempoh singkat di hospital sebelum dibenarkan pulang. Sebaik pulang, mereka menjadi tanggungjawab sepenuhnya penjaga dengan sesetengah daripada mereka tidak mengetahui cara menjaga pesakit dengan betul.

“Menerusi aplikasi ini, penjaga kepada pesakit boleh mengetahui panduan penjagaan harian, pemakanan, postur, terapi pertuturan, kebersihan, fisioterapi, pembelian alatan kesihatan, peringatan pengambilan ubat, sokongan emosi dan lain-lain,” katanya.

Dr Kamarul Imran berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Aplikasi “CaknaStrok” di PPSP Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian di sini hari ini, yang dirasmikan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM Prof Dr Wan Rosli Wan Ishak.

Mengulas lanjut, Dr Kamarul Imran berkata aplikasi itu dibina bersama-sama penyelidik dalam dan luar negara termasuk London School of Hygiene and Tropical Medicine United Kingdom, Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Persatuan Kebangsaan Stroke Malaysia.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play Store atau Apple App Store menerusi telefon mudah alih pengguna secara percuma. Keselamatan privasi pengguna menjadi keutamaan aplikasi ini dengan penggunaan protokol keselamatan bertaraf industri. 

“Kita berharap aplikasi ini dapat membantu penjaga pesakit strok dan membolehkan penjagaan lebih baik dan berkesan dengan pelbagai panduan diberikan. Kita juga akan menambah baik aplikasi dari semasa ke semasa dengan memasukkan modul untuk soal jawab antara pengguna,” katanya. 

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan