GOPENG, 18 Sept (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1.6 juta menerusi penganjuran Perak Agrofest 2025 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 26 Sept ini di Ladang Infoternak Sungai Siput.
Exco Pertanian Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata sasaran itu bertujuan memperluas pasaran hasil pertanian, meningkatkan pendapatan usahawan tani, menggalakkan aliran ekonomi setempat dan mengukuhkan imej FAMA sebagai agensi peneraju pemasaran hasil pertanian.
Beliau berkata Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijangka berkenan merasmikan karnival pertanian dwitahunan berskala negeri itu.
“Sebanyak 117 usahawan tempatan akan mengambil bahagian dengan penyertaan terdiri daripada 40 peratus usahawan wanita, 34.4 peratus usahawan muda dan hampir 50 peratus usahawan baharu.
“Karnival ini menjadi platform utama memperkukuh jaringan pasaran hasil tani dan mempromosikan produk agromakanan tempatan,” katanya pada sidang media di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, hari ini.
Mohd Zolkafly berkata sebanyak 12 laman bertema akan disediakan kepada pengunjung termasuk Laman Padi, Laman Pertanian, Laman Inovasi, Teknologi dan Jentera, Laman Veterinar, Laman Nanas, Laman Ekonomi Biru, Laman Jabatan/Agensi, Laman Zoo dan Night Safari, Laman Florikultur serta Laman Industri Makanan Asas Tani.
Katanya FAMA Perak dipertanggungjawabkan menguruskan empat kluster utama iaitu Empayar Makanan, Industri Makanan Asas Tani, Florikultur dan Jualan Agro MADANI @ Pasar Tani Mesra.
“Antara tarikan utama ialah Jualan Agro MADANI @ Pasar Tani Mesra yang menawarkan penjimatan sehingga 30 peratus kepada pengunjung.
“Pelbagai aktiviti turut diadakan seperti pelancaran produk usahawan, pertandingan mewarna, demonstrasi masakan, pertandingan kupas kelapa tua dan makan tembikai, pertandingan musang berjanggut serta persembahan busking,” katanya.
Beliau berkata dengan pengisian pelbagai dan berimpak tinggi, Perak Agrofest 2025 dijangka menjadi acara tumpuan serta memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab pertanian berdaya saing di rantau ini, selain menyokong aspirasi Agro MADANI dalam menjamin keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA