MELAKA, 18 Sept (Bernama) -- Program Libat Urus Awam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dianjurkan oleh Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya (UM) dilihat menjadi platform penting dalam menyalurkan pandangan rakyat, sekali gus menggilap idea serta cadangan bagi dirangka sebagai dasar negara yang lebih berimpak.
Pengarah Eksekutif INPUMA UM Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata setakat ini sebanyak tujuh siri telah selesai dilaksanakan masing-masing di Sandakan, Kota Kinabalu, Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Miri, Kuching selain di Melaka hari ini, manakala lokasi seterusnya akan diteruskan ke Johor serta negeri-negeri pantai timur.
“Setiap dua hingga tiga sesi libat urus seperti ini akan diikuti dengan perbincangan kumpulan fokus bersama cerdik pandai dan pemimpin utama bagi mengesahkan dapatan serta idea yang diketengahkan dalam sesi dialog awam.
“Usaha ini bukan sekadar mendengar keluhan rakyat sebaliknya memperhalusi cadangan agar ia boleh diangkat sebagai dasar yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di Seri Negeri di sini hari ini.
Terdahulu, program libat urus itu dirasmikan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Anis Yusal berkata pendekatan neutral dan tidak berpihak penting agar cadangan yang digarap benar-benar menggambarkan denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi.
“Selain wacana ini, satu pasukan kaji selidik turut melaksanakan tinjauan di 32 kawasan, manakala dapatan berkenaan disokong melalui penganjuran forum, seminar serta penulisan yang dibawa ke ruang awam sebagai bahan perbincangan lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata menerusi siri libat urus yang diadakan sebelum ini, beberapa isu utama yang kerap dibangkitkan termasuk kos sara hidup, isu keselamatan di kawasan sempadan, peningkatan kes jenayah, kebimbangan mengenai alam sekitar dan masalah banjir.
“Isu-isu ini wajar diberi perhatian serius agar dapat ditangani dengan dasar yang tepat demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 12 siri wacana keseluruhannya dijadualkan berlangsung tahun ini sebagai usaha berterusan membawa keluh kesah rakyat ke meja pembuat dasar di peringkat nasional.
-- BERNAMA