KOTA KINABALU, 18 Sept (Bernama) -- Usahawan dan koperasi yang terjejas akibat banjir serta tanah runtuh boleh memohon penstrukturan semula atau penangguhan bayaran balik pinjaman hingga maksimum enam bulan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata dasar sedia ada itu dilaksanakan di seluruh negara apabila sesuatu daerah atau negeri diisytiharkan terjejas bencana.
Ewon berkata kementeriannya mempunyai tujuh agensi pembiayaan termasuk Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan SME Corp Malaysia.
"Usahawan atau koperasi yang terkesan boleh memohon penangguhan pinjaman dengan syarat membuat laporan polis serta memaklumkan kepada agensi pembiayaan masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata peminjam kemudian perlu mengemukakan laporan polis dan pengesahan bahawa premis perniagaan mereka terjejas akibat bencana sebagai bukti untuk memohon penangguhan pinjaman kepada agensi masing-masing.
Beliau berkata polisi ini terpakai di Sabah khususnya di daerah yang terjejas bencana banjir termasuk Penampang, Papar, Beaufort, Sipitang dan beberapa daerah lain.
"Kita mahu membantu dan memastikan usahawan dan koperasi mempunyai ruang untuk bangkit semula selepas berdepan kerugian akibat bencana," katanya.
-- BERNAMA