KOTA KINABALU, 20 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan Skuad Sukarelawan Barisan Nasional (BN) Sabah bagi membantu meringankan beban mangsa bencana di negeri itu.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata skuad berkenaan menghulurkan bantuan sejak tiga hari lepas, dengan membawa empat lori tangki untuk membantu membersihkan kediaman mangsa banjir.
“Hari ini saya melancarkan secara rasmi skuad ini dan ia akan didaftarkan dan digerakkan di seluruh 25 kawasan parlimen di Sabah.
“Skuad ini akan bergerak bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Peruntukan akan digunakan oleh skuad berkenaan bergantung kepada keadaan dan keperluan di kawasan berlakunya bencana,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran skuad di pekarangan Bangunan UMNO Sabah di sini petang ini.
Beliau berkata skuad sukarelawan itu terbuka kepada semua, bukan terhad kepada ahli BN sahaja.
“Dalam usaha membantu mangsa kita bersifat “buta warna”, semua kita akan bantu tanpa mengira latar belakang politik…jadi siapa sahaja boleh sertai sukarelawan ini,” katanya.
Sementara itu, mengenai jumlah kerusi bakal ditandingi BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, Ahmad Zahid berkata pihaknya akan meletakkan calon di kawasan yang berpotensi untuk menang.
“Apa yang pasti, BN tidak akan bertanding di keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kita akan letakkan calon di tempat yang boleh menang. Kita akan umumkan kemudian selepas dimuktamadkan.
“Kita akan kerjasama dengan the third force di Sabah untuk pastikan kerusi itu memihak kepada BN. Kita juga telah muktamadkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan sekurang-kurangnya tiada pertindihan kerusi dengan PH. Kita akan muktamadkan selepas bubar,” katanya.
-- BERNAMA