KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Restoran perkhidmatan pantas halal (QSR) Malaysia, Marrybrown, baru-baru ini mengumpul sejumlah RM400,000 untuk badan amal tempatan termasuk RM30,000 yang disumbangkan menerusi Kejohanan Golf Amal 2025 yang julung kali diadakan, di Forest City Golf Resort, Gelang Patah, Johor.
Kejohanan itu, yang menghimpunkan penggiat golf, rakan korporat dan aktivis komuniti, diadakan bagi mengumpul bantuan untuk Persatuan Amal Marrybrown. RM30,000 yang dikumpul itu diagihkan sama rata kepada enam badan amal yang berpangkalan di Johor dengan masing-masing menerima RM5,000.
Penerima terdiri daripada Pertubuhan Kebajikan Shan De, Persatuan Penjagaan Kebajikan Sherun, Yayasan Sultanah Fatimah, Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Johor Bahru, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Johor (Rumah Berkat) dan Persatuan Kebajikan Yu Shan, Johor Bahru.
Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown Daniel Chan dalam kenyataan berkata rangkaian restoran itu berterima kasih kepada rakan kongsi korporat, penggiat golf dan penaja mereka yang percaya dengan misi Persatuan Amal Marrybrown.
"Kejohanan itu menyatukan masyarakat untuk tujuan murni, menunjukkan bahawa belas kasihan boleh menjadi sokongan bagi mereka yang paling memerlukannya. Ini hanya permulaan, dan kami berharap untuk membina momentum ini bagi memberikan impak yang lebih besar pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Menurut kenyataan itu, susulan kejayaan penganjuran kejohanan itu, Marrybrown akan terus memperjuangkan inisiatif yang memupuk semangat kemasyarakatan dan memberikan impak bermakna kepada mereka yang memerlukan.
Persatuan Amal Marrybrown ditubuhkan untuk mempertingkatkan kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik dan kurang upaya selain turut membantu rumah jagaan warga emas, menyokong bantuan bencana dan kempen berkaitan kesihatan.
Kenyataan itu memaklumkan antara inisiatif utama termasuk program "Kembali ke Sekolah" dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, yang memastikan kanak-kanak daripada latar belakang kurang bernasib baik memulakan tahun akademik mereka dengan sempurna, mempamerkan komitmen Marrybrown untuk berkongsi kemesraan dan keprihatinan dengan masyarakat.
“Selain inisiatif ini, persatuan juga melaksanakan projek jangka panjang seperti mewujudkan peluang pekerjaan untuk kanak-kanak berkeperluan khas, membina taman permainan di hospital kerajaan untuk menceriakan pesakit kanak-kanak serta menyokong pusat penjagaan kesihatan yang menumpukan pada penyakit jantung dan sindrom Down.
"Usaha berterusan ini menunjukkan kepercayaan Marrybrown bahawa kejayaan sebenar ditakrifkan bukan sahaja oleh kemajuan perniagaan tetapi juga impak positif yang dicetuskan dalam kehidupan orang lain," katanya.
-- BERNAMA