KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Presiden Perhimpunan UN-Habitat Nga Kor Ming memperoleh sokongan dari China, Vietnam dan Brunei untuk memperkukuh kerjasama dalam platform UN-Habitat serta mengintegrasikan Agenda Bandar Baharu (NUA) ke dalam proses Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).
Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengadakan mesyuarat bilateral dengan wakil utama dari tiga negara tersebut di luar Mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China Mengenai Pembinaan 2025 di Guilin dari 14 hingga 16 Sept.
Delegasi itu diketuai Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Luar Bandar China Ni Hong, Timbalan Menteri Pembinaan Vietnam Nguyen Tuong Van dan Menteri Pembangunan Brunei Datuk Seri Awang Muhammad Juanda Abdul Rashid.
Antara topik yang dibincangkan ialah pengintegrasian NUA ke dalam proses Persidangan Para Pihak (COP) di bawah UNFCCC.
“Bandar dan penempatan manusia menjana hampir 70 peratus pelepasan berkaitan tenaga, menyumbang kepada kelemahan iklim paling ketara dan dalam masa sama, mewujudkan potensi besar untuk inovasi serta daya tahan,” kata Nga menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini.
Nga berkata integrasi itu akan menandakan kemajuan penting dalam dasar iklim dengan menghubungkan hasrat iklim global dalam transformasi tempatan sekurang-kurangnya menerusi enam kaedah iaitu memajukan tadbir urus iklim pelbagai peringkat dan memanfaatkan potensi bandar dalam usaha penyahkarbonan.
Ia juga meliputi mengukuhkan keupayaan adaptasi dan daya tahan, menggerakkan pembiayaan ke peringkat tempatan, memastikan kesaksamaan dan keterangkuman serta meningkatkan kesepaduan merentasi agenda global.
“Integrasi seperti ini akan mewujudkan sinergi penting dengan inisiatif sektorial dengan menghubungkan laluan penyahkarbonan industri dengan sistem bandar yang memacu permintaan kepada keluli, simen, perkapalan dan sektor kritikal lain,” katanya.
Kenyataan itu memaklumkan cadangan itu mendapat sokongan pihak terlibat.
Menurut kenyataan itu, deklarasi mengenai pengintegrasian NUA ke dalam proses UNFCCC dijadualkan dibentangkan pada High-Level Closing Ceremony of the Ministerial Meetings on Urbanisation and Climate Change di Persidangan Pihak-Pihak ke-30 (COP30) di Belem, Brazil.
Nga turut mengajak lebih banyak negara anggota untuk menyokong usaha itu dan memperkukuh pelaksanaan Agenda Bandar Baharu di peringkat tempatan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Agenda 2030.
-- BERNAMA