SANDAKAN, 19 Sept (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sentiasa dalam keadaan bersiap siaga dalam menghadapi kemungkinan berlaku luruan angin di kawasan pantai timur Sabah.
Pegawai APM Sandakan Kapten (PA) Sulaiman Salama berkata tumpuan pemantauan akan dilakukan di kawasan pesisir pantai dan perkampungan di tepi laut sekiranya berlaku luruan angin.
“Kami sentiasa bersedia dengan apa juga kemungkinan yang berlaku dalam tempoh beberapa hari ini seperti yang diramalkan.
“Jika dilihat semalam, hujan tapi dalam tempoh yang singkat dan tidak diikuti dengan angin kencang. Bagaimanapun, kami perlu berwaspada dan bersedia,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu semua pihak bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlaku luruan angin ke pantai timur Sabah terutama daerah Sandakan dan Lahad Datu, selepas melanda pantai barat.
Sulaiman turut mengingatkan penduduk yang tinggal di pesisir pantai serta tepi laut agar cakna dengan perubahan cuaca yang berlaku, dan jika perlu berpindah, maklumkan kepada pihak berkuasa dengan segera bagi mengelakkan berlaku sebarang insiden tidak diingini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee turut menasihatkan penduduk yang tinggal di tepi laut terutama di Kampung Sim Sim, Kampung Forest dan Kampung Mangkalinau agar sentiasa berwaspada dengan kemungkinan berlaku luruan angin.
“Saya ingin menasihatkan penduduk Sandakan supaya berjaga-jaga dan lakukan penyelenggaraan pada zink-zink yang telah lama dengan menambah paku agar zink lebih kukuh.
“Apabila berlaku angin kencang, tidak terlalu bahaya. Namun sekarang kita tidak boleh ramalkan bila bencana akan berlaku dan bila akan berlaku fenomena air pasang besar. Jadi, kita perlu sentiasa berjaga-jaga.
“Ini adalah satu perubahan fenomena yang semua orang tidak dapat ramalkan tapi berdasarkan makluman luruan angin akan sampai ke pantai timur. Jadi, saya sarankan kepada semua penduduk untuk berwaspada,” katanya.
Vivian berkata pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran Sandakan dan APM, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga perlu bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan berlaku luruan angin di daerah berkenaan.
-- BERNAMA