AM

JPNS INGATKAN MALIM GUNUNG PATUHI KADAR SILING PERKHIDMATAN

19/09/2025 05:19 PM

SEREMBAN, 19 Sept (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) mengingatkan Malim Gunung Perhutanan (MGP) supaya tidak mengenakan kadar bayaran perkhidmatan sesuka hati, sebaliknya perlu mematuhi harga siling yang telah ditetapkan.

Pengarah JPNS Hamidi Abd Halim berkata kadar bayaran itu ditetapkan berdasarkan model kerangka harga perkhidmatan MGP yang dibangunkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Beliau berkata kerangka harga berkenaan menjadi panduan semua pihak bagi menentukan kadar perkhidmatan yang bersesuaian mengikut beberapa kriteria ditetapkan.

“Harga ditawarkan perlu mematuhi kadar maksimum mengikut kawasan pendakian. MGP boleh bersaing menawarkan harga lebih rendah bagi menarik minat pendaki mendapatkan khidmat mereka.

“Bayaran kepada MGP juga berbeza mengikut jenis pendakian, termasuk mengambil kira jarak dan tahap kesukaran laluan, risiko tersesat, potensi kecemasan serta tahap akses lokasi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Hamidi berkata individu yang mahu mendaki di kawasan diwajibkan menggunakan khidmat MGP perlu memohon permit daripada JPNS menerusi MGP.

Katanya tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memasuki hutan simpan tanpa permit sah, selaras Akta Perhutanan Negara 1984.

Beliau berkata penggunaan khidmat MGP diwajibkan bagi pendaki tempatan di Gunung Besar Hantu dan Trans Naning bermula 1 Okt ini, manakala pendaki bukan warganegara diwajibkan menggunakan MGP bagi trek pendakian dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata seramai 77 MGP telah berdaftar di bawah JPNS tahun ini, sekali gus membolehkan jabatan itu bekerjasama lebih erat dalam pengurusan trek pendakian.

Sementara itu, Hamidi berkata kehadiran MGP amat penting bagi memastikan keselamatan pendaki dan kelestarian alam sekitar di kawasan HSK.

Menurutnya JPNS akan menilai keberkesanan serta kemajuan pelaksanaan perkhidmatan MGP dari semasa ke semasa dan setakat ini tiada perancangan untuk mewajibkan penggunaan MGP di gunung atau trek lain di negeri ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan