SEREMBAN, 19 Sept (Bernama) -- Kadar tempahan bilik hotel di Negeri Sembilan terutama di Port Dickson mencecah kira-kira 90 peratus sempena musim cuti sekolah kali ini, kata Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan Haziz Hassan.
Beliau berkata perkembangan positif untuk sektor pelancongan itu direkodkan bermula Sabtu lepas hingga esok yang menunjukkan Negeri Sembilan turut menjadi tumpuan orang ramai untuk bercuti.
“Hampir semua bilik di hotel yang berdaftar dengan MAH habis ditempah dan ini tidak termasuk rumah inap desa di sekitar Jempol dan Kuala Pilah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Haziz berkata usaha memperkukuh sektor pelancongan perlu terus dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan negeri, penggiat industri dan komuniti setempat bagi memastikan pelancong dapat menikmati percutian berkualiti.
Beliau berkata antara faktor kedatangan pelancong ke negeri ini ialah tarikan pantai di Port Dickson selain keunikan adat Perpatih dan produk inap desa di samping promosi yang berterusan.
Dalam pada itu, Haziz berkata sebagai persediaan Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026, industri perhotelan di negeri ini bercadang mengadakan tawaran istimewa terhadap harga bilik hotel khususnya di sekitar Port Dickson kepada orang ramai yang membuat tempahan awal.
-- BERNAMA