EKONOMI

MAXIS TAWAR PENYELESAIAN DIPACU AI BAGI BANDAR PINTAR, SELAMAT DI EKSPO BANDAR PINTAR 2025

19/09/2025 09:44 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Maxis Bhd (Maxis), menerusi cabang perusahaan perniagaan ke perniagaannya (B2B), Maxis Business, mempamerkan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) di bawah tema “Cities of Tomorrow Begin Today”, di Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur (SCEKL) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Maxis berkata pameran itu menghidupkan tiga kes penggunaan AI yang praktikal, semuanya disokong oleh keterhubungan yang pantas, boleh dipercayai dan selamat daripada syarikat itu.

Kes-kes penggunaan ini menunjukkan bagaimana AI boleh diaplikasikan untuk menyelesaikan cabaran perbandaran sebenar dalam aspek keselamatan awam dan pengurusan trafik, seterusnya mewujudkan komuniti yang lebih selesa didiami dan selamat.

"Kes penggunaan pertama mempromosikan jalan raya yang lebih selamat dengan mengesan secara automatik tingkah laku pemanduan tidak selamat seperti penggunaan telefon bimbit atau kegagalan memakai tali pinggang keledar.

"Keupayaan ini membantu mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dan tingkah laku berbahaya yang lazim, sekali gus membolehkan perancangan keselamatan jalan raya yang lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Maxis, bagi kes kedua, ia memberi tumpuan kepada mobiliti bandar, menggunakan pengenalpastian kenderaan secara automatik untuk meningkatkan pematuhan terhadap peraturan trafik, akses, dan letak kereta.

Sementara itu, bagi kes terakhir, ia berpusat kepada keselamatan awam, menggariskan bagaimana analitik video masa nyata boleh meningkatkan kesedaran situasi serta menyokong masa tindak balas insiden yang lebih pantas dalam operasi keselamatan awam.

Mengulas lanjut, Maxis berkata kes penggunaan generasi baharu ini mencerminkan komitmen Maxis Business dalam memastikan industri serta agensi sektor awam bersedia untuk masa hadapan.

"Komitmen ini direalisasikan melalui penyelesaian keterhubungan dan digital bersepadu termasuk AI, awan, internet pelbagai benda (IoT), perkhidmatan terurus dan keselamatan siber, semuanya didayakan oleh rangkaian mudah alih dan gentian termaju Maxis," kata syarikat itu.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis Prateek Pashine berkata konsep bandar pintar berkisar tentang penggunaan penyelesaian yang praktikal dan berskala untuk menyelesaikan cabaran bandar yang sebenar.

Oleh itu, beliau berkata, kes penggunaan yang dilaksanakan Maxis membolehkan pengurusan bandar yang lebih pintar, cekap dan selamat untuk pihak berkuasa tempatan serta agensi perkhidmatan awam, demi manfaat komuniti yang mereka berkhidmat.

"Peranan Maxis Business sebagai rakan digital adalah untuk memperkasa sektor awam dan swasta dengan memudahkan penerimagunaan teknologi termaju ini.

"Kami akan terus memanfaatkan kekuatan teras kami dalam perkhidmatan keterhubungan dan infrastruktur, serta bekerjasama dengan rakan ekosistem untuk menyokong agenda digital Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan